Gila Labur RM1000 Dapat RM1bilion Skim Pelaburan ‘Federal Reserve Chicago Bond’


Kuala Lumpur: Sindiket pelaburan haram ‘super kaya’ apabila mangsa yang melabur RM1,000 dijanjikan keuntungan RM 1 billion.

Itu pulangan luar biasa ditawarkan sindiket pelaburan haram didalangi seorang mualaf dengan bantuan seorang doktor bersama isterinya.

Sindiket penipuan diberi nama ‘Federal Reserve Chicago Bond’ itu sudah mengaut keuntungan lebih 90 juta rata-ratanya dikutip daripada golongan pesara di negara ini.

Setakat ini, seramai 8,200 individu sudah menjadi mangsa penipuan sindiket yang sudah beroperasi sejak tahun 2014 itu, namun masih ramai mangsa enggan tampil membuat laporan polis.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd. Wahid berkata, sembilan ahli sindiket itu berjaya ditangkap hasil operasi khas dijalankan pihaknya bermula 24 Mei lalu.

“Sindiket itu mulanya menawarkan skim pelaburan melalui laman webnya di mana nilai pelaburan bermula pada RM100 hingga RM1,000 seorang.

“Apabila mangsa melabur dalam skim berkenaan, mereka dijanji keuntungan, namun perlu menunggu dalam tempoh masa lama berikutan wang keuntungan perlu dihantar dari Chicago, Amerika Syarikat ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu menyerupai African Scam dan mereka belajar berhubung taktik penipuan itu daripada sindiket dari negara luar.

“Selepas mangsa melabur antara RM100 hingga RM1,000, mereka akan meminta pelabur atau mangsa membantu membayar wang cukai untuk nilai keuntungan kononnya ‘dilepaskan’ Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya ketika ditemui. - Metro
[Image: 27hmkel1_1464306195.jpg]
SALAH seorang suspek utama yang diberkas polis.

7,600 rakyat Malaysia mangsa skim cepat kaya

KUALA LUMPUR 19 Mei - Tidak serik-serik. Itulah yang berlaku terhadap 7,600 individu rakyat Malaysia yang mahu kaya dalam sekelip mata.


Ini berikutan mereka terpedaya dengan satu skim pelaburan terbaharu yang dikenali sebagai Federal Reserve Chicago Bond.

Sehingga kini, dilaporkan kira-kira RM90 juta wang milik mereka lebur dalam skim tersebut.

Menurut sumber, skim cepat kaya berkenaan wujud sejak empat bulan lalu dengan menyasarkan semua peringkat umur khususnya generasi celik teknologi maklumat.

Katanya, mangsa dijanjikan pulangan lumayan sehingga AS$2 bilion (RM8 bilion) bagi wang yang dilaburkan mereka dalam tempoh singkat.

“Sepanjang tempoh ‘pelaburan’ tersebut, mangsa diminta mendepositkan sejumlah wang secara berterusan ke dalam akaun yang dikendalikan oleh sindiket terbabit.

“Mangsa sentiasa dihubungi dan dilayan mesra oleh sindiket, menyebabkan mereka tidak menyedari bahawa skim tersebut hanya wujud dalam ‘bayangan’,” jelasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berikutan peningkatan jumlah mangsa, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman kini menubuhkan satu pasukan khas bagi mengesan dalang dan anggota sindiket berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Tajudin Md. Isa berkata, siasatan awal mendapati suspek memperdaya mangsa dengan menjanjikan keuntungan yang tinggi bagi setiap pelaburan.

“Bagaimanapun, keuntungan yang dijanjikan kepada mangsa tidak diperoleh dalam tempoh yang dijanjikan,” katanya.

Menurutnya, polis kini sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, jelasnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan tersebut diminta tampil membantu siasatan atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat iaitu Deputi Superintenden Nooranita Ismail di talian 019-4814459 atau 03-26101222.

Beberapa tahun lalu, negara dikejutkan dengan satu skim cepat kaya dikenali sebagai SwissCash atau Swiss Mutual Fund (1948).

Dianggarkan lebih 50,000 ‘pelabur’ dalam kalangan rakyat Malaysia menjadi mangsa skim berkenaan yang menjanjikan pulangan 300 peratus dalam tempoh 15 bulan.

Jumlah kerugian yang dicatatkan ketika itu ialah RM190 juta atau secara purata AS$1,000 (RM3,800) seorang.

Comments

Popular Posts